LAPORAN RELAX'S 17 (REHLAH SOIFIYAH MATRUH DAN SIWA)





MAC 2016: Badan Kebajikan Pelajar Pulau Pinang Mesir di bawah Unit Sambutan dan Rehlah telah menganjurkan jaulah yang diberi nama RELAX'S 17 (Rehlah Soifiyah Matruh & Siwa) khusus buat akhawat pada tarikh 19 Ogos hingga 21 Ogos 2017. Jaulah ini dianjurkan bertujuan untuk mengeratkan ukhuwah dikalangan ahli akhawat BKPPPM dan juga ahli- ahli dapat mengambil ibrah daripada sejarah yang terdahulu.
RELAX'S 17 telah disertai oleh 4O akhawat BKPPPM, 3 musyrif dan diringi satu pasangan mutazawwijin bersama 3 orang cahaya mata. RELAX'S 17 bermula sekitar jam 12.30 pagi bertarikh 19 0gos 2017. Seusai peserta-peserta menaiki bas, doa menaiki kenderaan dibaca oleh Ustaz Muhammad Safwan Bin Azzmi. Sekitar 4.30 pagi, bas diberhentikan untuk memberi laluan kepada peserta menunaikan solat subuh. Selepas itu, diteruskan perjalanan ke destinasi yang pertama iaitu Hamam Cleopatra. Cleopatra merupakan nama seorang Ratu Mesir yang cantik jelita. Kecantikannya mampu memikat hati setiap lelaki. Sejarah dan kisah hidup Cleopatra sangat terkenal dan banyak diadaptasi dalam novel, kisah- kisah serta drama. Kewujudan Hamam Cleopatra terletak di Matruh, bahagian Utara Mesir.

     Seterusnya, RELAX'S 17 ke destinasi yang kedua iaitu Teluk Ajibah yang dinamakan "Bahar Ajibah" kerana keindahan pantainya yang kebiru- biruan. Bagi sesiapa yang melihat pantai tersebut pasti merasa kagum dengan lautnya yang mempunyai tujuh lapisan warna. Ketujuh-tujuh lapisan tersebut dapat dilihat dengan jelas apabila menjelang waktu senja. Setelah selesai mengambil gambar, peserta dibawa ke tempat penginapan untuk makan tengahari, rehat dan aktiviti bebas di kawasan sekitar tempat penginapan. Seusai solat Maghrib, peserta dibawa ke Suq Libya untuk membeli- belah. Di sana terdapat berbagai- bagai jenis barang yang dijual seperti buah zaitun, minyak zaitun, kasut, beg dan sebagainya.
     Pada keesokan paginya, para peserta berkumpul di lobi penginapan. Selepas 20 minit kemudian, peserta menaiki bas bertolak ke Siwa yang mengambil masa selama 4 jam perjalanan. Setelah sampai di sana, destinasi pertama yang dituju iaitu Jabal Mauta (Bukit Kematian).-Penduduk setempat juga menamakan perkuburan itu dengan Gabel Al-Musabbarin. Di sana terdapat lubang- lubang kecil hitam yang merupakan kubur- kubur pada zaman dahulu. Ramai di kalangan pembesar dan orang ternama telah dikuburkan di sana. Seterusnya, kami meneruskan perjalanan menuju ke destinasi kedua iaitu Istana Iskandar Maqduni dan Kuin Amon Re. Seterusnya kami ke Kota Lama Siwa, di sana terdapat tempat- tempat peninggalan kuno dari zaman beberapa ratus tahun dahulu. Kota Siwa merupakan sebuah kota kecil yang masih kuat dari sudut adat dan budayanya yang tersendiri. Majoriti penduduk di situ memeluk agama Islam kesemuanya. Kemudian, para peserta dibawa ke Kolam Cleopatra untuk solat dan makan tengahari di sana. Peserta berada di Kolam Cleopatra kira- kira satu jam setengah. Seterusnya kami menuju ke destinasi seterusnya iaitu Tasik Garam yang merupakan destinasi terakhir dilawati pada hari kedua sebelum pulang ke Matruh.

     Hari ketiga keesokannya, tepat jam 6 pagi, kami bertolak ke Pantai Abyadh untuk aktiviti di pantai dan BBQ. Tempoh perjalanan ke sana mengambil masa selama satu jam. Antara aktiviti- aktiviti menarik yang kami lakukan antaranya sukaneka, dan lain-lain lagi. Pada jam 2 petang, para peserta telah bersiap sedia untuk pulang ke Kaherah. Sekitar jam 10 malam, peserta RELAX'S 17 selamat tiba di Asrama Pelajar Pulau Pinang. Semoga dengan penganjuran rehlah pada kali ini dan ditambah pula beberapa aktiviti yang bermanfaat dapat mengeratkan lagi ukhuwah antara ahli akhawat BKPPM . Terima kasih di atas penyertaan peserta- peserta dalam menjayakan RELAX'S 17 pada tahun ini dan diharapkan semua ibrah dan pengalaman yang diperolehi dapat dijadikan pedoman bagi menghadapi hari yang mendatang. Semoga aktiviti seperti ini dapat dilaksanakan pada masa akan datang.


"Memurnikan Pemikiran, Melestarikan Kesatuan"
"Ribat Ukhuwah, Teguh Wehdah"
"Rabbani Thaqafi Khairi"

-

UNIT SAMBUTAN DAN REHLAH BKPPPM 16/17-



Comments

Popular posts from this blog

KEPENTINGAN MEMPELAJARI DAN MENGHAYATI SIRAH PERJUANGAN RASULILLAH SAW

Kebaikan Dan Keburukan Teknologi Moden

Minda Pimpinan | TAWAKAL VS TAWAKUL