AURAT : PENJAGAAN ATAU PERDAGANGAN ?

Aurat : Penjagaan atau Dagangan

AURAT : PENJAGAAN ATAU PERDAGANGAN ?      


Segelintir muslim hari ini gagal menutup aurat mengikut  kriteria-kriteria yang digariskan oleh Islam. Arus fesyen yang "up to date" menyebabkan masyarakat mengambil mudah akan aurat sehingga ada yang mengabaikannya. Oleh itu, sebagai muslim yang sejati, kita wajib mengikuti corak kehidupan Isam yang sebenar.

Apa itu aurat?

          Definisi aurat dari aspek penggunaan dalam ilmu Fiqh bermakna setiap anggota yang diharamkan oleh Allah SWT untuk didedahkan atau dibuka di hadapan orang yang tidak dibenarkan melihat auratnya.

Hikmah besar Allah mengharamkan pendedahan aurat di hadapan orang lain kerana ia akan menjatuhkan darjat dan maruah manusia, seolah-olah menyamakan manusia dengan binatang yang tiada perasaan malu dan lansung tidak berpakaian.

Hukum menutup aurat
          Hukum menutup aurat adalah wajib, sama seperti kewajipan mendirikan solat dan menunaikan zakat. Firman Allah SWT maksudnya :

"…dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya, dan hendaklah mereka menutup belahan leher bajunya dengan tudung kepala mereka…" (Surah an-Nur : 31)

"…janganlah kamu mendedahkan diri seperti yang dilakukan oleh orang-orang jahiliyah zaman dahulu…" (Surah al-Ahzab : 33)

Serta sabda baginda Rasulullah SAW :
Maksudnya : "Tidak dibenarkan bagi orang lelaki melihat aurat lelaki dan perempuan melihat aurat perempuan. Dan tidak boleh seorang lelaki dengan lelaki lain dalam satu selimut, dan perempuan dengan perempuan lain dalam satu selimut". (Hadis riwayat Muslim)

Pemakaian dalam Islam

          Di dalam Islam, telah diletakkan beberapa etika pemakaian yang cukup lengkap dan sempurna bagi menjaga harga diri seseorang individu tersebut. Etika-etika tersebut adalah satu perkara yang mudah dan mampu dilakukan oleh semua manusia. Sekiranya etika-etika yang mudah tersebut dilanggar, maka ia sudah dikatakan sebagai mendedahkan auratnya.


- Menutup aurat
Pemakaian seseorang itu hendaklah menutup aurat, berdasarkan situasi, syarat dan ketetapan yang telah digariskan oleh Islam.

- Longgar(tidak ketat)
Pemakaian yang sudah menutup aurat, hendaklah dipastikan supaya tidak ketat sehingga menampakkan susuk tubuh badan, kerana dengan mengenakan pakaian yang ketat pada anggota aurat, ia masih lagi dikatakan sebagai mendedahkan aurat.

- Tidak jarang
Pemakaian yang menutup aurat dan longgar hendaklah tidak dikatakan sebagai jarang sehingga menampakkan susuk tubuh badan. Ia bukanlah diwajibkan tebal sehingga menyusahkan, tetapi cukup sekadar tidak menampakkan susuk tubuh badan tersebut.

- Tiada perhiasan yang menarik perhatian
Pakaian yang dikenakan tersebut hendaklah tidak dihiasi dengan benda-benda yang mampu menarik perhatian sedangkan ia bukanlah satu keperluan. Bagi lelaki, dibolehkan berhias tetapi tidak terlalu berlebihan atau melampau sehingga menarik perhatian perempuan, contohnya pakaian yang menampakkan otot-otot badan. Bagi perempuan pula, tidak dibenarkan berhias, bersolek dan sebagainya melainkan di hadapan suami sahaja.

- Bukan untuk bermegah
Pakaian yang dikenakan bukanlah merupakan cara untuk bermegah-megah dengan mengenakan wangian yang tidak dibenarkan atau dengan hiasan-hiasan yang tidak diperlukan. Lelaki dibenarkan untuk mengenakan wangian, namun tidak berlebihan sehingga membazir.

Bagi perempuan pula, wangian yang dibolehkan hanyalah sekadar menghilangkan bau yang kurang senang sahaja, bukan berlebih-lebihan sehingga dapat dihidu dan menarik perhatian lelaki lain.


PERCAMPURAN LELAKI DAN PEREMPUAN

          Percampuran atau ikhtilat antara lelaki dan perempuan terbahagi kepada dua jenis, iaitu percampuran yang dibenarkan di dalam Islam dan percampuran yang dilarang.

1. Percampuran yang dibenarkan oleh Islam

          Percampuran di antara dua jenis ini di dalam satu tempat berlandaskan beberapa kaedah yang ditentukan, atau tidak melanggar mana-mana peraturan, ia dikatakan sebagai percampuran yang dibenarkan di dalam Islam. Peraturan-peraturan tersebut ialah :

1.1 Tempat-tempat tertentu sahaja

- Tempat beribadah
Percampuran dibenarkan ketika menegerjakan solat berjemaah di masjid, mengerjakan haji dan sebagainya. Bersolat di masjid, tempat lelaki dan perempuan hendaklah dipisahkan sepertimana yang dapat dilihat di masjid-masjid.

- Tempat menuntut ilmu
Percampuran juga dibenarkan di dalam majlis ilmu seperti pengajian tajwid, kuliah di university dan sebagainya, masih lagi perlu dipisahkan tempat di antara keduanya.

1.2 Bilangan yang ramai
Bilangan yang ramai tidak dikatakan sebagai khalwat. Contohnya bilangan perempuan melebihi bilangan lelaki, seperti seorang lelaki Bersama dua orang perempuan. Tidak dibolehkan bagi dua orang lelaki Bersama dua orang perempuan.

1.3 Keperluan/Terdesak
 Percampuran tersebut merupakan satu keperluan, bukanlah sengaja keluar dengan tujuan makan malam, menonton wayang dan sebagainya. Contoh percampuran dalam keadaan yang diperlukan ialah dengan tujuan perubatan, mengajar dan sebagainya.

1.4 Tidak menimbulkan fitnah
Percampuran yang tidak menimbulkan sebarang fitnah, contohnya seperti percampuran di dalam majlis tarian, melancong dan sebagainya.


1.5 Menjaga adab
Menjaga adab semasa percampuran antara lelaki dan perempuan perlu diambil perhatian seperti menundukkan pandangan, menutup aurat, menggunakan pergerakan yang tidak menggoda dan bersuara tegas di dalam pertuturan.


2. Percampuran yang dilarang oleh Islam

Percampuran yang tidak dibenarkan oleh Islam ialah apa sahaja percampuran yang melanggar atau mengurangi mana-mana peraturan yang telah digariskan tadi. Sekiranya diperhatikan dengan teliti, semua peraturan tersebut mampu dilakukan oleh semua manusia, cuma masih ada lagi yang berdalih bahawa Islam mengongkong umatnya, sedangkan dia sendiri tidak tahu bahaya maksiat dan keruntuhan akhlak yang bakal menimpa dirinya.



Matlamat Tidak Menghalalkan Cara

Dunia kini, menyaksikan keadaan umat Islam yang semakin menyimpang daripada ajaran  Islam yang sebenar. Hal ini, menyebabkan segelintir masyarakat telah mengabaikan panduan Islam sehingga merobek ketetapan yang telah digariskan syarak semata-mata mengikut hawa nafsu. Firman Allah Taala :

وَلَوِ اتَّبَعَ الْحَقُّ أَهْوَاءَهُمْ لَفَسَدَتِ السَّمَاوَاتُ وَالْأَرْضُ وَمَنْ فِيهِنَّ ۚ بَلْ أَتَيْنَاهُمْ بِذِكْرِهِمْ فَهُمْ عَنْ ذِكْرِهِمْ مُعْرِضُونَ

Dan kalaulah kebenaran itu tunduk menurut hawa nafsu mereka, nescaya rosak binasalah langit dan bumi serta segala yang adanya. (Bukanlah sahaja kami memberikan agama yang tetap benar) bahkan kami memberi kepada mereeka Al-Quran yang menjadi sebutan baik dan mendatangkan kemuliaan kepada mereka; maka Al-Quran yang demikian keadaannya, mereka tidak juga mahu menerimanya. 
(Mu'min :71) 

          Apa jua matlamat dan tujuan yang ingin dicapai, mestilah menggunakan cara yang baik dan diikitiraf di sisi syarak. Terdapat satu kaedah umum dalam Usul Fiqh Islam, iaitu menerusi satu pendekatan :
الغاية لا تبرر الوسيلة
"Matlamat tidak menghalalkan cara"

          Maka perkara yang haram tetap hukumnya haram walaupun bertapa murni dan mulia niat dan tujuannya kerana syariat Islam tidak membenarkannya. Bahkan setiap yang baik mestilah dicapai melalui jalan yang baik juga bukan sebaliknya.

Kesimpulannya, kita sebagai seorang muslim perlulah sentiasa menimba ilmu untuk menghilangkan kejahilan, dan kembali pada ajaran  Islam yang sebenar untuk selamat di dunia dan akhirat.
(Unit Penerangan Dan Informasi | Lajnah Penerangan dan Penerbitan BKPPPM 17/18)

Comments

Popular posts from this blog

KEPENTINGAN MEMPELAJARI DAN MENGHAYATI SIRAH PERJUANGAN RASULILLAH SAW

Kebaikan Dan Keburukan Teknologi Moden

Minda Pimpinan | TAWAKAL VS TAWAKUL